Thursday, October 30, 2008

DPMM FC News

DPMM FC sah sertai Liga Perdana Malaysia

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Pengurus pasukan DPMM FC, Pengiran Waslimin (gambar atas) mengesahkan kelab DPMM FC akan mewakili pasukan negara untuk beraksi dalam kancah Liga Perdana Malaysia dan FA Cup musim 2009.

"Kita perlu lebih cemerlang pada persaingan musim baru ini," jelasnya ringkas tetapi penuh bersemangat ketika ditemui di Gadong hari ini.

Beliau mengakui pihaknya telah menerima tawaran dari FAM untuk menyertai kejohanan itu bagi musim 2009.

Kelab DPMM FC ketika ini sudah menjalani latihan secara berterusan bagi meningkatkan keupayaan dan kemantapan pasukan di bawah kendalian ketua jurulatih, Vrejan Simunic dan Mohd Ali Haji Momin selaku penolong jurulatih.

"Selain mengekalkan pemain-pemain lama, kita juga dijangka akan mengekalkan beberapa pemain yang sama-sama beraksi dalam Piala Suzuki AFF di samping mempelawa beberapa pemain muka baru dari kelab-kelab tempatan," ujarnya.

Dalam masa yang sama, DPMM FC juga terus membuka pintu kepada pemain-pemain berminat dari kelab-kelab di Semenanjung Malaysia termasuk dari Borneo untuk menyarung jersi DPMM FC bagi musim 2009 ini.

"Sebelum ini, beberapa pemain dari Malaysia yang berminat telah datang menjalani latihan ujian bersama pasukan. Kita menilai beberapa sudut sebelum menawarkan mereka untuk bermain bersama pasukan kita," jelas pengurus itu.

Antara pemain yang telah ditawarkan ialah pemain lincah Shukur Adan dan Bobby Gonzales dari Sabah dan berhasrat membawa kembali khidmat Jagathan yang pernah beraksi selaku penyerang tengah DPMM FC musim lalu.

Menurutnya, dijangka 4 sehingga 6 pemain akan ditawarkan untuk menyertai kelab DPMM FC dalam memberi cabaran lebih hebat musim ini.

Ketika ditanya status perkembangan mengenai cadangan kelab berkenaan untuk meminta pihak FAM agar mengecualikan pasukannya dari "membawa" pemain import, Pengiran Waslimin menjelaskan setakat ini pihaknya belum menerima jawapan dari pihak FAM.

Bekas pemain pertahanan kental, Rene Kumar dan penyerang berbisa kancah Liga Malaysia, Keita Manjou sebelum ini sudah mengikat kontrak bersama kelab DPMM FC.

"Kedudukan mereka akan diketahui sedikit masa lagi apabila FAM akan mengadakan mesyuarat mereka bagi meneliti dan mempertimbangkan sama ada membenarkan pasukan kita menyenaraikan pemain import lagi bagi musim ini," jelasnya.

Liga Perdana Malaysia musim 2009 dijangka akan membuka tirai pada awal Januari depan.

Oleh: HJ Rahim

No comments: