Saturday, December 27, 2008

Local Football News

Liga Perdana Brunei tidak terjejas - AFC

Oleh: Amnri Haji Zainuddin
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat - Berita baik untuk pemain dan peminat bola sepak tempatan - Liga Perdana Brunei tidak terjejas dengan pembatalan pendaftaran Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (BAFA) dan boleh dilangsungkan pada bila-bila masa.

Perkara ini dimaklumkan oleh Pegawai Media Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Lazarus Rokk ketika dihubungi Media Permata di Kuala Lumpur, petang ini.

Perkhabaran itu sekurang-kurangnya merawat duka daripada episod hitam yang menimpa badan induk bola sepak Brunei itu setelah rayuannya agar pembatalan pendaftarannya diketepikan ditolak oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Rabu lalu.

Namun apa yang lebih dibimbangkan iaitu Brunei melalui pasukan atau kelab-kelabnya tidak dibenarkan sama sekali menyertai mana-mana pertandingan atau liga yang bernaung di bawah AFC dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjadi kenyataan.

Menurut Lazarus: "Brunei tidak boleh sama sekali menyertai atau menganjurkan mana-mana kejohanan antarabangsa kerana ia sudah pasti tertakluk kepada AFC dan FIFA. Ini memang peraturannya.

"Namun Brunei tidak ada masalah untuk meneruskan liga mereka sendiri. Dalam erti kata lain, liga bola sepaknya (Liga Perdana Brunei) boleh diteruskan seperti biasa. Malah semua aktiviti bola sepak domestik tidak terjejas dengan pembubaran BAFA. Mereka bebas meneruskan sebarang pertandingan tempatan."

Bekas Setiausaha Agung BAFA, Pengiran Haji Metussin Pengiran Metassan ketika dihubungi untuk mendapatkan komen mengenai berita baik itu berkata: "Saya tidak mahu bercakap apa-apa ketika ini. Saya akan bercakap minggu depan."

Ditanya mengenai kemungkinan persatuan bola sepak baru seperti BAFA perlu didaftarkan semula untuk membolehkan mana-mana pasukan negara bertanding di pentas antarabangsa, beliau sekali mengulangi: "Tunggu saja minggu depan."

Pihak Urus Setia Liga Perdana Brunei juga tidak mahu mengulas perkhabaran dari AFC itu.

Ini bermakna kelab elit negara, DPMM FC, yang kempunan bertarung dalam Liga Malaysia 2009 selepas disingkirkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ekoran kegagalan BAFA memberikan penjelasan mengenai status pembubaran mereka baru-baru ini, boleh bersaing dalam liga kebangsaan - yang tidak pasti bila akan membuka tirainya.

DPMM FC semalam mengambil keputusan menamatkan kontrak dua pemain Malaysia, Chan Win Hong dan Bobby Gonzales namun di masa yang sama mengarahkan pemain lain menjalani latihan seperti biasa.

Di sebalik berita menggembirakan itu, kedudukan Kejohanan Trofi Hassanal Bolkiah yang dijadualkan tahun depan berada dalam kekaburan kerana ia melibatkan penyertaan pasukan negara-negara ASEAN.

Pertandingan yang dilancarkan pada 2002 melibatkan pemain Bawah 21 Tahun itu dianjurkan dan secara teknikalnya diuruskan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan BAFA dengan kerjasama Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

Acara berprestij yang berhasrat menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan itu adalah untuk mendedahkan kemampuan semangat kesukanan ASEAN kepada dunia di samping memberikan peluang kepada pemain muda berentap di pentas serantau.

Sementara itu Lazarus berkata, beliau sendiri ada mendengar mengenai pembatalan pendaftaran BAFA namun enggan mengulas lanjut sebaliknya berkata hanya pihak atasan AFC boleh memberikan kenyataan berkaitan.

BAFA pada asalnya ditubuhkan pada 15 Mac 1956 di Seria dengan nama Persatuan Bola Sepak Amatur Negara Brunei (BSAFA) sebelum menjadi Persatuan Bola Sepak Amatur Brunei (BAFA). Apabila Brunei mencapai kemerdekaan pada 1984, ia ditukar kepada Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam sehinggalah ke hari-hari terakhir pembatalan pendaftarannya.

No comments: